Saturday 20 June 2009

Brunei DPMM FC Juara Piala Liga 2009

Brunei DPMM FC - 4
SAF FC – 3
(Menerusi Sepakan Penalti)

TAHNIAH - Pasukan Brunei DPMM FC mengukir sejarah baru dalam persada bola sepak negara apabila menjadi pasukan luar pertama menjulang Piala Liga selepas menumpaskan pasukan SAF FC menerusi sepakan penalti 4-3 yang mendebarkan selepas kedudukan 1-1 berlanjutan sehingga masa tambatan di Stadium Jalan Besar.

Kemenangan itu membolehkan Piala Liga yang baru diperkenalkan pada tahun 2007 itu menyebarangi Laut China Selatan dan bertapak di Negara Brunei Darussalam bagi musim ke tiga.

Woodlands Wellington juara 2007 dan Gombak United menjulang pada tahun 2008.

Pastinya, kejayaan itu kelab DPMM FC yang mewakili dan mengharumkan negara itu menjadi satu lagi ristaan kejayaan bola sepak negara selepas skuad bola sepak negara membawa pulang Piala Malaysia 1999. Ak. Sallehuddin (Pengiran) dan Haji Subhi Abdillah Bakir merupakan dua pemain sama-sama beraksi dalam pasukan berkenaan.

Perlawanan akhir Piala Liga menyaksikan pertemuan menarik dan sengit. Sekalipun SAF FC lebih awal memperolehi jaringan menerusi Alexander Durix diminit ke 6 tetapi Rene Komar berjaya menlenyapkan keceriaan lawan apabila pemain hebat Croatia itu melepaskan rembatan kidal dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 diminit ke 10.

Kekentalan kedua pasukan yang tidak mahu mengalah membawa perlawanan ke masa tambahan sehingga kemenangan diputuskan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Mohd. Wardun Haji Mohd. Yussof menjadi wira apabila berjaya menepis sepakan Masahiro Fukasawa dan Razaleigh Khalik sementara pemain import Brunei DPMM FC, Dgog Yi pula gagal menyempurnakan tugas.

Mohd. Shahrazen, Azwan Salleh dan Hardi Bujang masing-masing cemerlang menewaskan Shahril Jantan dan rembatan kidal ketua pasukan, Rosmin Haji Kamis melengkapkan kemenangan bersejarah pasukan Brunei DPMM FC.

#Ada dua Piala lagi perlu di julang. Gandakan usaha capai kejayaan.