Saturday 30 May 2009

DPMM FC tarik diri dari Liga-S?

Oleh Hasrulraizan (Media Permata)

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Kelab Bola Sepak DPMM (DPMM FC) hari ini membuat pengumuman mengejut bahawa pasukan itu mungkin tidak lagi dapat beraksi dalam kejohanan Liga Singapura (Liga-S) berikutan kerumitan melibatkan persatuan bola sepak induk negara ini.
Media Permata ketika membuat liputan persiapan harian skuad merah hitam itu hari ini dikejutkan dengan perkhabaran duka itu.
Pemangku Pengurus DPMM FC, Pengiran Haji Muhd Waslimin dalam kenyataan akhbar ringkas berkata, pasukan berkenaan mungkin tidak boleh terus beraksi dalam liga negara republik itu menjelang penghujung Jun ini.
Ini adalah ekoran kerumitan berhubung bekas Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (BAFA) yang masih wujud dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedangkan status Persekutuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FFBD) masih lagi belum diiktiraf oleh badan induk dunia itu.
Untuk rekod, FFDB diiktiraf sebagai badan utama bola sepak negara ini oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sementara BAFA sudah dibatalkan pendaftarannya kerana sebab-sebab tertentu.
Pengiran Haji Muhd Waslimin memberitahu media bahawa kelabnya amat sedih dengan perkembangan terbaru ini walaupun pihaknya cukup percaya semua pihak berkaitan sudah memberikan pertimbangan dalam soal berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kelab akan cuba merayu kepada pihak berkuasa berkenaan dengan harapan pertimbangan semula diberikan kepada DPMM FC dalam keadaan sekarang terutamanya.
Mewakili DPMM FC, beliau meluahkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua penyokong setia mereka dan penaja di atas kesabaran, sokongan padu dan penuh kepercayaan mereka terhadap DPMM FC yang membolehkan pasukan itu berjaya sehingga kini.
Setelah mengharungi 14 perlawanan dalam Liga-S yang sudah memasuki pusingan kedua, DPMM FC memberikan impak cukup besar dan mengejutkan semua pencabar di gelanggang mereka sendiri apabila menduduki ketiga berbekalkan 26 mata hasil tujuh kemenangan, lima seri dan dua kalah.
DPMM FC sedang giat membuat persiapan bagi pertarungan Piala Liga republik itu menentang Albirex Niigata di Singapura pada 2 Jun ini.

#Yang lurus tu, luruskan kan la yeee...Blog ni pun bakal tutup jua lau nada team lagi hehehehe..